Sunday, June 22, 2008

ISLAMISASI UMNO

Saya melihat banyak persoalan pelik-pelik berlaku ketika ini dalam kancah politik negara.

Politik Umno di negara kita semakin berkecamuk. Hari ke hari, berbagai 'kemelut' yang timbul. Situasi ini memang jelas dilihat oleh ahli Umno. Rakyat juga tidak ketinggalan menilai perkara yang serupa, walaupun ketika ini bertungkus lumus mencari jalan mengatasi permasalahan kenaikan harga barang. Tetapi, sikap 'nafi menafi' masih bermain di bibir kepimpinan ketika ini. Tak ke pelik?

Saranan seorang Mufti agar empat pemimpin besar orang Melayu duduk semeja membincangkan perihal nasib bangsa Melayu, kian sepi terbiar begitu sahaja. Tetapi semua pemimpin Melayu gah bercakap setiap hari soal penyatuan bangsa Melayu, soal pembelaan bangsa Melayu dan sebagainya yang berkaitan survival bangsa Melayu. Tak ke pelik?

Pernyataan taat setia sekali lagi menjadi 'modal' kepimpinan sekarang. Masing-masing di berbagai peringkat tidak mahu terkebelakang dalam soal menzahirkan sokongan taat setia. Nampaknya tahap kesetiaan tak perlu diragui. Dalam masa yang sama, persoalan undi tidak percaya di dalam Parlimen pula yang menjadi bahan bualan. Tak ke pelik?

Laporan akhbar menceritakan beberapa kes-kes lama kembali akan disiasat. Berbagai ulasan telah disiarkan dengan satu matlamat bahawa kepimpinan amat-amat menekankan soal ketelusan dan keadilan. Tetapi beberapa kes terbaharu, malahan yang telah dibangkitkan di dalam Parlimen, seolah-olah tidak membawa makna untuk disiasat demi ketelusan. Tak ke pelik?

Banyak lagi soal pelik-pelik ini. Maka, saya terfikir di mana letak puncanya penyelesaian kepada kemelut ini semua?

Saya merumuskan bahawa kunci kepada penyelesaian ini ialah kita mesti kembali kepada ajaran Agama Islam yang sebenar-benarnya.

Dan Umno sebagai parti terbesar, mesti dahulu mengambil langkah untuk mengamalkan keseluruhannya nilai-nilai kepimpinan Islam di dalam parti, di semua peringkat kepimpinannya.

Tiada kompromi di dalam soal ini. Tiada dolak-dalik. Tiada tangguh-tangguh.

Umno perlu diislamisasikan. Dan masalah pasti terungkai. Yakinlah....

Sekadar rumusan peribadi.

p/s : suka baca kisah kepimpinan Khalifah Umar Al Khattab

Tuesday, June 17, 2008

JIHAD ILMIAH PEMUDA UMNO

Isu kurangnya pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan di IPTA bukanlah satu isu baru. Sebelum laporan akhbar hari ini, hal ini telah diperkatakan oleh ramai pihak. Tetapi perkara ini tetap menjadi isu juga.

Ini bermakna perubahan yang diharapkan masih tidak berlaku.

Ya...kita boleh berbahas mengenai faktor punca terjadinya isu ini.
Kita juga boleh membuka lembaran berjela bagi menyenaraikan kesan yang akan berlaku jika fenomena sebegini berterusan.
Tak kurang juga kita boleh menyediakan beberapa fail bertimbun bagi mendokumenkan beberapa kertaskerja yang boleh kita dapat jika kita bertanya soal mengatasinya.

Malahan, saya yakin di pihak tertentu memang telah ada yang 'menyimpan'nya pun.

Cuma...mesej yang saya ingin sampaikan di sini ialah rayuan saya kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ( bermula di peringkat pusat hinggalah ke peringkat cawangan ) untuk menjadikan agenda mengatasi isu ini sebagai fokus utama semua ahli Pemuda Umno.

Tidak mengapa...ahlinya mungkin berlainan 'pilihan' tetapi di dalam soal mengatasi isu ini, setiap ahli Pemuda Umno mesti bersatu hati, mesti satu istiqamah dan mesti satu matlamat. Tiada jalan berpatah balik.

Benar...agenda ini akan mengambil masa memandangkan ianya bersifat nasional dan berakar umbi. Tetapi, ianya mesti juga difikirkan jalan penyelesaiannya.

Untuk itu, saya ingin mencadangkan kepada kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno :

1) kita bermula dengan proses kesedaran kepada setiap ahli Pemuda di peringkat akar umbi bahawa isu ini amat penting di dalam soal maruah lelaki selaku bakal tonggak sesebuah keluarga.

2) mewajibkan isu ini untuk dibahaskan pada Persidangan Tahunan Pemuda Umno bermula di peringkat Cawangan pada bulan Julai ini bagi mendapatkan maklumbalas ahli.

3) menubuhkan badan Sekretariat Khas bagi menangani isu ini di peringkat Pemuda Umno Bahagian dan Pusat yang berasingan dengan Biro Pelajaran Pemuda Umno agar ianya lebih fokus.

Secara amnya, Pergerakan Pemuda Umno sudah perlulah memulakan Jihad Ilmiah ini.

Sekadar rayuan peribadi.


p/s : lelaki sekarang dah suka memasak?

Sunday, June 15, 2008

ISLAM DAN RASUAH

Di dalam satu majlis ilmu baru-baru ini, saya difahamkan oleh penceramah bahawa mengikut satu kajian mengenai amalan rasuah di dalam sesebuah kerajaan dan negara, Finland telah menduduki tempat yang teratas dari segi negara paling kurang berlakunya amalan rasuah.

Finland diberi markah 9.9 daripada markah penuh 10.0 keseluruhan.

Yang paling memeranjatkan saya ialah daripada 10 buah negara yang paling kurang berlakunya amalan rasuah, tidak ada sebuah pun negara Islam yang layak tersenarai.

Malaysia dikatakan menduduki tempat yang ke 42.

Jika benarlah pernyataan seperti di atas, terfikir juga di benak kepala saya kenapa orang Barat sering memandang rendah dan hina kepada agama Islam.

Saya amat-amat berharap sekiranya ada di kalangan pembaca yang boleh mengemukakan bukti sahih bagi menafikan pernyataan di atas. Jika ada, sekurang-kurangnya lega juga hati saya.

Sekadar mencari kelegaan peribadi.


p/s : lega tersenarai boleh tuntut rebat minyak...

Wednesday, June 11, 2008

LAMA TAK MENULIS

Assalamualaikum semua sahabat,

Lama sudah saya tidak menulis. Bukannya apa, cuma saya berhadapan dengan situasi kekangan masa. Maklumlah, sekolah dah mula dibuka. Banyak kerja yang nak diuruskan.

Jadi, mohon maaf pada semuanya.

InsyaALLAH...saya cuba membahagikan masa.

Sekadar permasalahan peribadi

p/s : minyak naik ni, cuti sekolah tak bertambah ke....?

Saturday, June 7, 2008

UMNO : GOLONGAN GENERASI ONLINE

Saya berada di KL baru-baru ini. Ketika di sana, saya terserempak dengan 2 perkara yang menarik perhatian saya.

Perkara 1 : saya terlihat sebidang sepanduk jualan di sebuah premis perniagaan yang tertulis ayat 'Jualan Rakyat'. Sekali pandang, saya sudah dapat meneka 'persamaan' maksudnya.

Perkara 2 : saya terserempak dengan 2 pemuda di Jalan Masjid India, memakai 'cap' di kepala yang bertulis nama sebuah parti pembangkang dengan bergrafikkan sebuah rancangan tv terkenal. Dek kerana tertarik, saya memandangnya sekali lagi.

Tiba-tiba saya terimbau semasa tahun 1999. Ketika itu, berbagai-bagai barangan 'dilabelkan' dengan lambang sebuah parti pembangkang yang baru tertubuh, sehinggakan butang baju Melayu pun turut berwajah baru. Cukup kreatif.

Inilah antara kaedah berstrategik parti pembangkang di dalam menarik minat golongan muda. Mereka faham citarasa orang muda, yang mudah teruja dengan sesuatu yang kelihatan kreatif, menarik, terkini dan segar. Sebab itu mereka menawarkan sesuatu yang bersesuaian dengan jiwa muda golongan ini - golongan 'generasi online'.

Saya berpandangan, Umno juga perlu merubah kaedah mendekati golongan muda; golongan penentu pada PRU akan datang. Golongan 'generasi online' ini kurang memahami dan sukar menerima konsep berpolitik corak lama Umno. Mereka lahir dalam zaman serba serbi online.

Untuk itu, saya amat berharap parti Umno, khususnya barisan Pemuda dan Puterinya, wajarlah mencari jalan terbaik untuk mendekati 'generasi online' ini kerana barisan inilah yang paling hampir dengan mereka.

Mungkin kedua-dua sayap ini juga perlu segera mengadakan sesi 'pemukiman', khusus bagi membincangkan kaedah berstrategik bagi menarik minat 'generasi online' bersama parti.

Jika ada pembaca yang bersetuju, maka panjang-panjangkanlah cadangan ini kepada mereka yang berkenaan.

Jika tidak, biarkanlah ia sekadar menjadi pengamatan peribadi saya.


p/s : suka pakai baju Melayu ala Johor.

Friday, June 6, 2008

BAHAGIAN KEDUA : FAKTOR 9

Sambungan...

Pada Bahagian Kedua ini, saya ingin menyentuh perihal yang terjadi pada Umno Bahagian Rembau kerana ia cukup hampir kepada saya. Rembau adalah Bahagian saya.

Umno Bahagian Rembau mempunyai kelebihannya yang tersendiri dibandingkan dengan yang lain di NS. Kelebihannya terletak kepada kedudukan jawatan yang ada pada individu di dalam kepimpinan organisasi Umno Bahagian itu sendiri. Bukan calang-calang kedudukan. Sudahlah Ketua Bahagiannya ialah YAB MB NS, Ketua Pemudanya pula Naib Ketua Pemuda Malaysia dan Ketua Puterinya ialah Setiausaha Puteri Malaysia – kelebihan yang berganda-ganda, bak kata orang ' ibarat anaknya baik, menantunya pula molek ‘. Susah kita nak jumpa kelebihan sebegini pada sesebuah Bahagian dalam Umno.

Dengan kelebihan sebegini, saya berpendapat, sepatutnya Bahagian Rembau menjadi penanda aras kepada gerak kerja Bahagian lain di dalam NS. Tetapi, atas beberapa faktor, ia tidak menjadi sebegitu.

Apakah faktor-faktornya? Saya senaraikan ‘Faktor 9’ seperti berikut :

1) wujud komunikasi yang kurang baik antara barisan kepimpinan
2) wujud persaingan yang tidak perlu sesama kepimpinan
3) terlebih peranan orang tertentu tidak membantu, malah lebih mewujudkan pertelagahan
4) banyak campurtangan telah mengundang perselisihan
5) tiada keikhlasan di dalam sistem penyampaian sesama kepimpinan
6) keghairahan di dalam penonjolan kekuasaan
7) mengabaikan pandangan orang bawahan
8) hilang fokus pada matlamat asal perjuangan
9) kepentingan diri mengatasi amanah yang diberi

Inilah ‘Faktor 9’ yang saya lihat membelenggu Bahagian ini sehinggakan keadaan politiknya menjadi bercelaru. Akibatnya, kita terlepas pandang kepada isu-isu dan permasalahan utama sehinggakan pembangkang telah mengambil keuntungan darinya – ‘ bertelagah antan di lesung, ayam juga yang kenyang’.

Saya menulis pandangan saya secara umum agar ia tidak akan menyentuh mana-mana pihak secara terang. Bukannya apa, dikhawatirkan niat yang baik untuk memberi teguran akan disalahertikan orang.

Benar, pasti ada yang tidak akan senang apabila membaca pandangan ini. Tetapi ingatlah, saya tidak meraih apa-apa keuntungan dengan memperkatakan perkara ini. Niat saya ikhlas demi melihat perubahan di dalam kepimpinan agar ianya akan memberi manafaat kepada semua pihak, terutamanya kepada parti Umno.

Cuma, ketahuilah bahawa ‘ barangsiapa yang berketak maka dialah yang bertelur ’.


Sekadar pandangan peribadi. ( disambung pada Bahagian Ketiga )

p/s : suka makan ayam percik

Thursday, June 5, 2008

MINYAK : KEJUTAN TAK DIUNDANG

Tidak perlu ulas panjang. Semua orang sudah maklum kenaikan mendadak harga minyak secara tiba-tiba. Ramai sedang membahaskannya, bergantung kepada skop pandangan masing-masing. Apapun keputusan sudah diumumkan, tidak akan berubah - 'dianjak layu, dianggur mati'.

Saya juga tidak mahu terkecuali. Nak juga memberi komen pasal isu ini. Bukannya nak menyibuk tetapi sekadar mewarnaikan lagi dunia demokrasi. Lagipun, sebagai pemunya kenderaan, isu ini sudah pasti terpalit juga kepada saya.

Saya tidak mahu menyentuh soal peratusan kenaikan, punca kenaikan, kesan kenaikan dan lain-lain perkara berkait dengannya. Ramai pakar dan 'bukan pakar' dah bercakap dari sudut ini.

Apa yang saya nak komen ialah kaedah yang digunapakai Kerajaan dalam membuat keputusan isu ini - ' kejutan tak diundang '.

Umum menyedari isu minyak ini adalah masalah dunia. Dan umum juga mengikuti perkembangan yang sedang diatur oleh Kerajaan di dalam menangani isu ini. Antaranya ialah larangan kepada kenderaan luar dan yang paling difahami ialah apa akan dilakukan pada bulan Ogos. Sedikit demi sedikit, rasanya rakyat makin lebih memahami.

Entah apa sebabnya, tiba-tiba semalam seluruh rakyat Malaysia diberi kejutan dengan pengumuman kenaikan harga minyak. Lebih daripada 40% naik. Benar, kita telah dibiasakan dengan budaya kejutan-kejutan menerusi Akademi Fantasia, tetapi kejutan tersebut tidak memberi kesan kepada soal kehidupan seorang manusia. Apatah lagi kepada mereka yang berkehidupan susah.

Tahukah kita, kenapa penurunan ayat-ayat suci Al Quran dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat, sedangkan Allah swt Maha Berkuasa, lagi Maha Kaya? Kerana ada hikmahnya. Ia berkait dengan soal fitrah dan fikrah manusia.

Justru itu, kalaulah sekiranya Kerajaan mengambilkira hikmah ini di dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak, saya cukup yakin rakyat akan lebih memahami dan menerimanya. Tidaklah jadi seperti hari ini. Walau apapun yang Kerajaan cuba jelaskan rasionalnya, ia lebih diterima secara negatif berbanding positif. Tak boleh salahkan rakyat, merekakan orang yang terkejut. Tentulah pengumuman itu disambut dengan berbagai-bagai perasaan - ' dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa yang tahu '.

Bagi saya, hanya mampu berdoa semoga isu ini tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada. Masing-masing kena mengambil langkah bersesuaian bagi menangani isu ini mengikut kemampuan sendiri.

Kepada Kerajaan, semoga beberapa langkah susulan secara berkesan dapat dicari segera bagi mengurangkan impak ekoran keputusan kenaikan harga minyak.

Cuma, kadangkala saya mengeluh dan terfikir yang Kerajaan sekarang ini ibarat ' lambai tak nampak, seru tak dengar '.

Sekadar keluhan peribadi.

p/s : jarang terima lambaian orang.

Wednesday, June 4, 2008

SEKADAR NAWAITU PERIBADI

Ekoran tulisan saya dalam Bahagian Satu, saya telah menerima beberapa sms yang kurang baik. Belum sempat pun saya menyambung ke Bahagian Kedua, saya telah dikatakan dengan berbagai-bagai tuduhan daripada mereka yang tidak dikenali. Pendekata, tulisan saya dikatakan 'ada udang di sebalik batu'.


Tiba-tiba saya teringat semula kepada istilah 'POLITIK JUMUD' yang pernah saya tulis sebelum ini.


Saya bertanya-tanya...

Apa silapnya dengan tulisan saya?
Adakah saya menulis dengan bahasa kesat sepertimana bahasa sms yang saya terima?
Adakah saya menidakkan kejayaan yang dilakarkan kepimpinan?
Dan yang terpenting, adakah saya mengatakan sesuatu yang tidak benar?

Saya akui pandangan tulisan saya sedikit pahit untuk ditelan tetapi bukankah 'sepahit-pahit semambu pahitnya menjadi ubat, semanis-manis gula berpasir jua'?

Saya teringat pada malam tadi, saya melihat di TV3 bagaimana Hillary Clinton menyebut yang baik kepada Barack Obama semasa beliau menyampaikan ucapannya di khalayak ramai. Kedua mereka adalah musuh dalam politik tetapi mempunyai peradaban yang tinggi. Kedua mereka berbangsa bukan Melayu.

Saya teringat kepada sejarah yang menceritakan bagaimana tingginya keperibadian ramai pahlawan agung Islam terhadap musuh mereka, walaupun ketika mereka memenangi peperangan. Akhirnya ramai di kalangan musuh yang berpaling tadah dengan memeluk Islam hanya kerana tertawan dengan keperibadian tersebut.

Saya juga teringat sirah Nabi Muhammad saw yang mengisahkan kehebatan sikap mulia Baginda terhadap tawanan perangnya sehinggakan kehebatan ini menjadi rujukan para penulis di negara Barat dan menghasilkan sebuah buku mengenai 100 pemimpin terhebat dunia, dengan menobatkan Nabi Muhammad saw di tempat paling atas.

Maka, saya jadi hairan dengan sikap segelintir kita yang masih mengamalkan budaya berpolitik 'muflis peradaban - miskin akhlaq - bankrap keperibadian' ini. Berubahlah, demi kesejahteraan diri sendiri dan juga bangsa kita. Saya percaya bangsa kita akan jadi lebih maju sekiranya kita mampu melakukan perubahan diri.

Justru itu, saya memutuskan, InsyaAllah saya akan teruskan penulisan saya untuk topik tersebut di masa akan datang - ibarat ' kalau berjalan biar sampai ke batas, kalau belayar biar sampai ke pulau '.

Ini adalah kerana niat saya hanya hendak menyampaikan kebenaran, dengan satu pengharapan semoga ada perubahan dalam pemikiran, demi kebaikan semua pihak.

Tanpa ada niat lain. Samada terang mahupun tersembunyi.

Ia cuma sekadar nawaitu peribadi.

p/s : tak suka main 'sorok-sorok. masa budak dulu. Tapi suka main 'konda kondi'.

Tuesday, June 3, 2008

POLITIK UMNO NS ( BAHAGIAN SATU )

Sesudah Politik Jumud, saya rasa teringin nak menulis sesuatu yang lebih dekat kepada saya iaitu Politik Umno Negeri Sembilan ( POLITIK UMNO NS ). Saya tulis di dalam beberapa bahagian.

Semua tahu NS masih dikuasai Kerajaan BN, walaupun hampir-hampir berputih mata seperti jirannya, Selangor. Dengan kehilangan banyak kerusi kepada pembangkang, bolehlah saya andaikan kedudukan Kerajaan NS ibarat 'berputih tetapi sebelah mata'. Itupun dengan tidak mengambilkira apa keputusan mahkamah terhadap petisyen ke atas sebuah kawasan Parlimen di NS. Kalau keputusannya tidak menyebelahi Kerajaan, maka bertambah putihlah lagi mata.

Saya teringat menjelang PRU12, saya ada terbaca kenyataan dalam akhbar bahawa konsep 'check and balance' dalam pentadbiran tidak perlu ada di NS. Maksudnya, pembangkang tidak diperlukan, BN sudah cukup sebagai pentadbir negeri yang baik. Begitulah yakinnya pada masa itu. Hakikatnya yang berlaku, keputusan PRU12 menunjukkan yang 'tak balance' sekarang ialah kedudukan Kerajaan BN.

Terus terang saya katakan, sebagai anak jati NS, saya merasakan bahawa sebenarnya pembangkang tiada kekuatan asli di negeri ini. Untuk bertahun lamanya, NS sentiasa sebagai salah satu kubu kuat BN, terutamanya Umno.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa di bawah pemerintahan Kerajaan BN NS, banyak permasalahan lama telah terungkai. Banyak kemajuan infra struktur telah dijalankan. Banyak pembaharuan dalam bidang pendidikan dan ekonomi telah dilaksanakan. Malahan, saya pernah sebut perkara ini semasa berucap sebagai perwakilan di Mesyuarat Bahagian. Semuanya dek kebijaksanaan mentadbir oleh pucuk kepimpinan. Gerak kerja kepimpinan ibarat 'pandai mencincang akar, matilah ke pucuknya'- cukup berkesan. Kita patut berterima kasih kepada kepimpinan Kerajaan BN NS.

Akan tetapi, selama beberapa tahun pentadbiran Kerajaan BN di NS, sebagai rakyat biasa, saya terbiasa mendengar keluhan ketidakpuasan orangramai. Kalau nak disenaraikan, sudah tentu berjela panjangnya. Antaranya, kecelaruan politik Umno NS.

Saya yakin keluhan ini sampai juga ke pengetahuan kepimpinan atasan Kerajaan NS. Tetapi, mereka tidak mengendahkan perkara seremeh begitu. Orang bijak pandai berpesan 'ombak yang kecil jangan ditidakkan'. Dengan menidakkan ombak kecil ini, digulung pula dengan permasalahan nasional, akibatnya bila tsunami politik melanda Malaysia, NS bernasib baik cuma terkena tempiasnya.

Dek celaru ini juga, kejayaan-kejayaan di atas tidak diterima dan dihargai sepenuhnya oleh rakyat NS. Keadaan bercelarunya politik Umno di NS menyebabkan rakyat meluat untuk menghargai kejayaan tersebut. Dalam masa mereka menikmati semua ini, mereka juga memutuskan untuk menghakimi pada pilihanraya.

Pendekata, keadaan politik Umno NS ibarat 'berebut tembikar yang pecah' - berkonflik kerana perkara yang merugikan.


Disambung pada Bahagian Kedua.....

p/s : konflik besar bila paip air di rumah pecah.

Sunday, June 1, 2008

POLITIK JUMUD

Sejak kebelakangan ini, timbul pula sindrom mempersoalkan kedudukan seseorang. Ada Menteri yang pertikaikan kedudukan seseorang sebagai Pengerusi SIC. Ada Menteri yang bertukar Kementerian pun menyokong. Tak reda lagi, timbul pulak persoalan mengaitkan kedudukan seseorang sebagai Presiden sebuah universiti.

Saya tak mahu komen nawaitu orang yang membangkit dan mempersoalkan perkara ini. Kalau kita tengok isu yang terbeban pada individu dipersoal dan latar belakang si penyoal, maka pejam mata pun kita sendiri boleh teka motif mereka - 'sudah terang lagi kan bersuluh'.

Cuma, ekoran persoalan ini, maka timbul pertanyaan dalam kepala saya :

1) generasi sekarang adalah golongan yang berfikiran terbuka dan rasional. Apa agak-agaknya mereka fikir bila melihat pertikaian ini dibangkitkan? Keterbukaan Kerajaan Pusat? Atau kesempitan berfikir Menteri Kerajaan Pusat?

2) ramai mengkagumi dan menghargai apabila melihat kesediaan PM menyambut kunjungan Ketua-Ketua Kerajaan Negeri Pembangkang selepas PRU12. Samada si penyambut mahupun yang disambut. Maka, pertikaian begini bolehkah dilihat dari sudut kekaguman yang sama? Atau rasa jelek dan meluat melihat benda 'bermotif tersembunyi' dibangkitkan?

3) beberapa jawatan telah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Pembangkang kepada individu yang bukan dari parti mereka. Untuk rekod, ada yang telah menerimanya, walaupun persoalan dari sudut disiplin parti dihujahkan kepada mereka. Orangramai melihat perkara ini sebagai satu kematangan dalam politik. Adakah pertikaian yang dibangkitkan Menteri-Menteri ini akan mengundang persepsi yang sama dari orangramai?

4) pernah timbul semasa kempen PRU12 satu persoalan timbul apabila melihat bendera Umno lebih banyak dinaikkan berbanding BN, maka masyarakat secara sinis tetapi dalam maksudnya, menyoal... Umno atau BN yang bertanding? Justru itu, pertikaian yang mengaitkan 'selera semasa' individu tersebut terhadap parti Umno, adakah boleh memberi kesan baik dari sudut sokongan orangramai kepada BN?

5) orangramai melihat jawatan-jawatan tersebut amat berat untuk dipikul. Ia melibatkan hal-hal kecekapan pengurusan dan bidang pendidikan. Maka, kenapa dikaitkan dengan hal-hal kepartian? Ada individu yang pernah disabitkan dengan kesalahan oleh parti, tetapi hari ini dilantik menguruskan hal-hal perundangan di negara ini. Kenapa tidak pula dipertikaikan?

Masyarakat dah tak boleh terima kaedah politik jumud macam ini. Satu-satu jawatan, apatah lagi yang besar-besar, kita kena nilaikan dari sudut pencapaian seseorang. Timbangkan dari aspek kebolehan seseorang. Bukan dari sudut pegangan fahaman politik.

Saya merumuskan inilah jadinya kalau kita berfikiran jumud dalam politik atau kita masih lagi asyik sangat nak berpolitik, walaupun dah bergelar Menteri atau teringin sangat bergelar hero, heroin dalam parti menjelang pemilihan Umno.

Sekadar satu rumusan peribadi.

p/s : suka lihat Eman Manan jadi hero dalam filem 'Matinya Seorang Patriot'.

BOLEHKAH IA MENJADI KENYATAAN?

Hujung minggu ini memang tak akan kebuluran. Dimana-mana pun ada jemputan kenduri kahwin. Saya sendiri dijemput ke 3 buah rumah pengantin. Pening nak 'adjust'. Semua nak memanafaat 'kelebihan' cuti panjang sekolah.

Dalam satu majlis, saya terserempak dengan seorang kawan yang berbeza 'ideologi' parti. Lama tak jumpa, sejak PRU12 selesai. Ajak dia duduk makan bersama-sama. Niat hati nak berbual-bual hal semasa. Dia setuju. Rasanya niat dia pun sama jugak kot.

Kami berbual-bual dari satu topik ke satu topik yang lain. Banyak isu kami bualkan. Tapi, hampir semua isu menyentuh isu-isu politik yang sedang hangat diperkatakan. Tak perlulah saya sebut, rasanya semua kita maklum.

Apa yang saya nak tuliskan di sini ialah satu 'pandangan' daripada kawan saya ini tentang Umno. Satu pandangan daripada 'orang asing' kepada Umno.

Dia mengakui bahawa walaupun dia berlainan ideologi dengan saya kerana dia tidak memilih untuk bersama dengan Umno, tapi sebenar-benarnya dia cukup menyedari bahawa Umno memang sebuah parti yang berjasa kepada bangsa dan negara. Bermula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada memajukan negara. Tidak dapat siapa menafikannya.

Hujahnya, Umno adalah tonggak kepada kejayaan ini. Banyak kenikmatan yang telah Umno usahakan dan secara jujur, dia sendiri mengaku sebagai salah seorang yang merasai nikmat tersebut, melalui peluang pendidikan. Dia sendiri tidak berasa segan untuk berterima kasih kepada Umno. Malahan, keluarganya juga begitu.

Cuma, atas sebab tertentu, dia tidak dapat memilih Umno sebagai parti untuk dia sertai. Dia memilih bersama dengan parti lain. Tetapi, secara peribadi, dia tidak mempunyai masalah dengan parti Umno. Secara peribadi juga, dia berasa sedikit sedih dengan apa yang berlaku kepada parti Umno sekarang, sebuah parti politik Melayu terbesar di negara ini. Kenapa?

Kerana dia melihat Umno kini telah terpesong daripada agenda perjuangannya yang asal. Masing-masing di dalam Umno, di semua peringkat dan lapisan, hanya bercakap dan berminat dengan 'agenda tertentu', bukan agenda perjuangan. Kesannya, kini Umno telah tidak dihormati sebagai parti perjuangan, tetapi ialah lebih kelihatan sebagai parti berkepentingan.

Pada kawan saya, jika Umno ( maksudnya seluruh ahli Umno dari atas hingga ke bawah ), mengambil satu ketetapan iaitu memberhentikan kemelut, mempereratkan semula hubungan sesama Umno, mengorak langkah bekerja kuat untuk rakyat dan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi selera sendiri, nescaya, bukan sahaja pada PRU13, pada mana-mana PRU yang lain pun, Umno tidak akan kalah kepada mana-mana parti. Tidak ada satu parti pun yang mempunyai jentera keahlian yang besar, pengalaman mentadbir yang luas dan nama sehebat parti Umno. Jika tidak, percayalah, tidak mustahil Umno akan lenyap daripada kamus politik negara ini.

Saya terdiam. Memandangnya bercakap jelas memperlihatkan keikhlasannya memberi pandangan. Saya tidak pun menjawab. Dia pun tidak menyambung percakapan. Masing-masing meneruskan suapan nasi ke mulut. Sehinggalah kami berpisah daripada majlis.

Sehingga sekarang, saya tertanya-tanya, dalam keadaan Umno hari ini, bolehkah ia menjadi kenyataan ?

Sekadar perbualan peribadi.

p/s : suka dengar bunyi kompang masa majlis kenduri kahwin. Tapi, sekarang ini dah ramai guna cd bunyi kompang.

Friday, May 30, 2008

KISAH AGAMA : MARUAH AGAMA ISLAM

Sempena Jumaat barakah, saya nak coretkan sedikit satu kisah agama. Kalau tak jadi panduan pun, mungkin boleh sedikit kurangkan ketegangan memikirkan isu-isu semasa.

(Coretan ini pernah saya hantar via sms kepada kenalan)

Kisah berlaku pada satu masa yang lampau, di sebuah negara Arab. Maka disebut di dalam sebuah kitab sirah, pada suatu petang yang biasa, seorang gadis Islam sedang berjalan berseorangan di sebuah kampung. Dia kemudiannya melintasi sekumpulan anak muda lelaki yang bukan beragama Islam, yang sedang duduk berkumpul di tepi jalan tersebut.

Tiba-tiba, datanglah akal jahat terhadap gadis tersebut di benak kepala salah seorang daripada kumpulan anak muda itu. Dia berhajat untuk mengganggunya. Lalu pemuda ini bangun, berjalan ke arah gadis tersebut. Tanpa sebab, tanpa isyarat, dia terus menolak gadis itu.

Dek lemah seorang perempuan, tolakan tersebut menyebabkan gadis ini tersungkur, jatuh tertiarap di atas jalan, hingga tersingkap kainnya ke paras betis. Pemuda yang menolak itu tadi ketawa berdekah-dekah, sambil diikuti jua kawan-kawannya yang lain kerana berjaya memalukan gadis itu. Mereka gembira berjaya memalukan seorang gadis Islam.

Cepat-cepat gadis malang itu membetulkan semula kainnya, menutup auratnya yang terbuka tadi. Lalu dia bangun, berdiri semula mengadap kumupulan pemuda tersebut yang masih dengan hilaian ketawa mereka. Gadis ini menjerit sekuat hatinya meminta tolong.

Diriwayatkan, maka terdengarlah seorang anak muda Islam akan jeritan tersebut. Tanpa berfikir panjang, dia terus melompat ke arah kumpulan pemuda tersebut dengan tujuan ingin membela gadis yang dimalukan itu. Malangnya, dia yang keseorangan menentang, telah tertewas. Dia mati terbunuh.

Seorang tua melihat keseluruhan kejadian tersebut. Dia bertekad untuk melaporkan peristiwa ini kepada Khalifah, yang tinggal beribu-ribu batu jauhnya. Dengan segala kesusahan, akhirnya dia sampai juga kepada Khalifah dan terus menceritakan kejadian ini.

Sebaik sahaja mendengar cerita ini, Khalifah bingkas berdiri. Mukanya merah padam menahan marah. Badannya menggeletar. Istana menjadi hening seketika. Dengan suara yang lantang, Khalifah bertempik, " Mana mungkin maruah Islam dijatuhkan. Mana mungkin maruah Islam dipermainkan!".

Lalu beliau mengerah askarnya ke kampung tersebut demi menebus semula maruah agama Islam. Dipendekkan cerita, kumpulan pemuda yang bersalah itu dapat dihukum.

Moral cerita ini ialah - lihatlah bagaimana kuatnya keadaan orang Islam ketika itu, sehinggakan sebarang usaha menjatuhkan maruah Islam, walaupun hanya melibatkan aurat seorang gadis Islam, pasti akan dipertahankan habis-habisan.

Hebat kan?

Sekadar satu penceritaan peribadi.

SDRA EZAM NEGATIFKAN ISU EZAM

" Ezam sedia tanding Ketua Pemuda " lapor akhbar hari ini.

Dalam posting saya sebelum ini, saya mengajak kita berfikiran matang terhadap kemasukan semula Sdra Ezam. Atas dasar memikirkan manafaat kepada kekuatan parti, saya seru supaya kita terbuka menerima beliau. Saya minta beliau diberi peluang kali yang kedua bagi membuktikan keinsafannya. Pendekata, kita kena positif dalam hal ini.

Tetapi Sdra Ezam, bukan mudah ahli nak melupakan apa yang telah Sdra hamburkan kepada parti ini semasa penentangan Sdra. Tidaklah semudah Sdra menyerahkan borang permohonan sebagai ahli baru-baru ini.

Maka, persoalan saya walaupun parti mengamalkan demokrasi, sangat perlukah Sdra Ezam menyatakan kesediaan bertanding, dalam masa ramai di kalangan ahli parti sedang cuba 'menelan' kesilapan Sdra? Saya khuatir pernyataan Sdra ini akan mengundang 'luka lama kembali berdarah'.

Jangan begitu Sdra Ezam - 'takkan lari gunung dikejar'. Seperti yang saya sebut, saya yakin ramai ahli akan dapat menerima Sdra semula, jika kena pada niat dan tujuan Sdra menyertai semula Umno. Ramai yang sedang membaca nawaitu Sdra, apa yang tersurat dan apa yang tersirat.

Sdra sebut yang kemasukan semula Sdra adalah semata-mata kerana negara. Justru itu, hanya selepas beberapa hari mengumumkan kemasukan, Sdra telah menyatakan kesediaan bertanding Ketua Pemuda, maka tidak salah kiranya ada yang melihat kemasukan semula Sdra ibarat 'ada udang di sebalik batu'.

Kalau begitu, tidak salah juga sekiranya saya katakan Sdra Ezam yang negatifkan isu Sdra sendiri.

Sekadar pernyataan peribadi.

p/s : sekadar tekateki (positif + negatif) + neutral + (positif + negatif) = siapa?

Thursday, May 29, 2008

ISU EZAM : ADA POSITIFNYA

Bermula dengan khabar2 angin, akhirnya sah sudah berita Ezam menyertai semula Umno. 'Majlis' menyambut kemasukannya dilaporkan dengan gambar penyerahan borang kepada Presiden Umno. Ezam kini ahli parti Umno seumur hidup. Banyak komen gembira diberi oleh 'orang-orang besar' Umno mengenai kemasukan semulanya. Untuk seketika, kisah 'yang keluar' menjadi sepi. Begitulah signifikannya Ezam kepada Umno.

Siapa Ezam? Beliau orang politik yang boleh dikatakan penuh 'warna warni'. Di satu ketika, beliau 'membelasah' Umno sedaya mungkin atas sebab tidak bersetuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Beliau kemudiannya, keluar Umno dan menyertai parti Keadilan, dengan memegang jawatan penting di dalamnya. Tindakan beliau memang dapat dijangkakan pada masa itu. Beliau memang diketahui pengikut setia dan anak didik kepada DSAI. Sehinggakan, jika kita memejam mata mendengar beliau berucap, kita boleh jadi terkeliru antara beliau dengan DSAI, dek persamaan gaya pengucapan antara mereka berdua - 'ke mana tumpahnya kuah guru kalau tidak ke nasi muridnya'. Malahan, 'kotak rahsia' begitu sinonim dengan Ezam. Hingga kini, kotak itu kekal dengan rahsianya.

Atas sebab tertentu, beliau meninggalkan parti Keadilan. Beliau bersama dengan GERAK, memperjuangkan isu anti rasuah dan menegakkan ketelusan pentadbiran. Dan hari ini, beliau melepaskan kedudukan beliau di dalam GERAK, menyertai semula Umno, tanpa syarat. Inilah yang mewarnai kerjaya politiknya.

Di dalam membicarakan hal kemasukan semulanya, saya mengambil sikap positif. Saya memilih untuk tidak mempersoalkan nawaitunya, mempertikaikan matlamatnya. Saya bersangka baik terhadap kemasukan semulanya -'berlapang dada jauh lebih baik daripada bertanya-tanya di dalam kepala'.

Apa salahnya jika ada yang sudah mula menyedari kesilapannya yang lalu. Apa salahnya dengan memberi peluang kali kedua. Mungkin beliau sudah insaf. Mungkin hatinya telah berubah - 'sedangkan pantai lagi boleh berubah, inikan pula hati manusia'. Tetapi, parti juga perlu waspada, bukan wasangka. Dalam kita bersangka baik, kita juga mestilah sentiasa berhati-hati. Tak mustahil pula 'pisang berbuah dua kali'. Saya bukan menghasut, sekadar memberi peringatan kepada parti, dengan tujuan murni.

Kepada Ezam, selamat kembali kepada parti Umno. Saya yakin ramai ahli Umno akan menyambutnya, jika kena pada niat dan tujuannya. Ezam perlu tabahkan hati jikalau berhadapan dengan kalangan ahli Umno yang masih mengingati sejarah lamanya menghentam Umno, yang masih mengimbas keceluparannya mengata Umno pada satu ketika dulu - 'luka walaupun telah sembuh, namun parutnya masih ada'.

Maka, buktikan kepada mereka bahawa kini Sdra benar-benar ahli Umno, seumur hidup. Yang tidak ada toleransinya di dalam mempertahankan maruah parti, walaupun terpaksa pula 'membelasah' pihak yang pernah menjadi sekutu Sdra dahulu. Masa akan menentukan keikhlasan Sdra kepada parti Umno. Semoga Umno kembali 'mengangkat kepala' dengan kehadiran Sdra.

Kepada parti Umno, secara positifnya, apabila seseorang yang cukup agresif di dalam perjuangan menuntut ketelusan, memilih untuk menyertainya, maka ia akan memberi gambaran kepada umum bahawa Umno ialah sebuah parti yang paling telus. Hujah ini cukup kuat, apatah lagi parti ini semakin dipersoalkan ketelusannya.

Cuma, saya berharap di pihak pucuk kepimpinan, di dalam keghairahan menyambut 'bakal pahlawan seumur hidupnya', jangan terlupa kepada mereka-mereka yang bergelar 'ahli parti setia seumur hidup'. Mungkin mereka tidak punya nama sehebat Ezam, tidak punya pengikut seramai Ezam tetapi ingatlah, mereka juga ada peranan kepada parti, ada sumbangan kepada perjuangan parti dan juga punya perasaan sayang kepada parti - yang terpenting, tidak memiliki kesilapan silam seperti Ezam kepada parti. Kadangkala, keghairahan seseorang akan menyakiti hati seseorang.

Inilah cerita politik. Ada yang keluar, ada yang masuk. Selagi tajuknya politik, maka isi ceritanya juga politik. Jangan fikir skrip cerita politik ini akan tamat di sini. Pasti ada lagi kisah-kisah baru yang akan muncul.

Apapun, dalam berpolitik, kita jangan lupa batasan. Jangan sampai tergadai kedaulatan negara, tercemar maruah bangsa, terbiar rakyat jelata. Kalau ia terjadi, tiada siapa yang akan untung. Sebagai rakyat Malaysia, 'air dicincang tak akan putus'.

Sekadar satu catatan pandangan peribadi.

p/s : takut dengan 'kotak beracun' ketika majlis sambutan harijadi!

Wednesday, May 28, 2008

APABILA POLITIK MENGATASI KEWAJARAN DALAM PERTIMBANGAN

Saya memang terkilan, malah tergamam dengan keputusan 'mengharamkan' Islam Hadhari di Selangor. Bukanlah kerana nak kaitkannya dengan keputusan membabitkan babi di Selangor, tetapi ia lebih menerusi perasaan saya sebagai orang Islam.

Apa dosanya dengan konsep Islam Hadhari? Kalaupun kita tidak bersetuju, maka kemukakanlah hujah yang bernas bagi menjustifikasikan keputusan. Ataupun, kita kemukakan langkah penambahbaikan kepada konsep ini.

Kalau kita amati dengan keikhlasan dan dari sudut positif, kita akan dapat melihat manafaat daripada pelaksanaan Islam Hadhari. Ia bukan agama baharu, mahupun saingan kepada agama Islam. Ia cuma konsep pendekatan. Dan ia bukanlah satu konsep yang mengajak kita kepada perkara yang tidak betul. 10 prinsipnya tidak dapat kita nafikan berada di atas landasan agama. Landasan kebenaran. Justru itu, kenapa tergamak mengharamkan sesuatu yang benar?

Tak sampai beberapa bulan memerintah, lalu tergesa-gesa menunjukkan belang. Banyak lagi permasalahan sebenar yang membelenggu kehidupan umat Islam di Selangor yang memerlukan perhatian segera. Buat yang mana perlu dahulu untuk kepentingan umum. Amanah yang kita dapat dalam PRU12 bukanlah hanya nak memuaskan selera dendam, selera menunjuk-nunjuk. Kelak ia akan merugikan ramai pihak.

Jadi, dapatlah saya rumuskan bahawa ini hanya semata-mata kerana politik. Sehinggakan ia telah mengatasi kewajaran dalam membuat pertimbangan.

Mereka mengata bermacam-macam kepada pihak yang satu lagi. Lalu, apa bezanya mereka dengan orang yang mereka kata?

Atau rupanya selama ini mereka cuma mengata tentang sikap sebenar mereka?

Satu pandangan peribadi.

p/s : tersentuh dengan respon JAKIM

Tuesday, May 27, 2008

HIKMAH DI SEBALIK ISU BATU PUTIH

Ramai beri komen isu ini selepas keputusan penghakiman dikeluarkan. Secara positif, ianya bagus. Ramai yang prihatin hal melibatkan kedaulatan negara. Tapi, budaya 'rumah siap pahat berbunyi' rupanya masih kuat di kalangan masyarakat kita.

Apa hikmah yang kita boleh belajar dari isu ini? Tentulah banyak. Tentulah berbeza-beza mengikut sudut pandangan masing-masing.

Bagi saya, hikmah yang paling penting untuk kita pelajari ialah berhati-hati dalam urusan melibatkan pentadbiran dan kedaulatan negara.

> Kajian mestilah lengkap dan penuh kepakaran
> Semakan terhadap perkara lain mesti dibuat secara menyeluruh
> Pandangan mesti lebih jauh ke hadapan
> Keterbukaan menerima pendapat mesti luas dan berlapang dada

Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita merancang berbagai-bagai wilayah, koridor dan lain-lain lagi pembangunan.

Tujuannya hanyalah mengelak kemungkinan situasi begini mungkin berulang akan datang. Segalanya berkemungkinan. Kan lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Apapun, ia cuma pandangan peribadi.

p/s : isu batu nesan pun kadang2 bertelagah

Friday, May 23, 2008

SETIA : SATU PERSOALAN

Tiba-tiba, kebelakangan ini ramai yang bercakap tentang persoalan setia. Ada yang mempertikaikan setia. Dan ada juga yang menyatakan setia. Ada yang berdabik dada mengatakan... aku setia. Dan ada yang mencebik muka mengatakan... polan si polan tidak setia. Perkataan ini mudah sahaja terpacul dari mulut, khususnya dari mulut orang politik.

Jadi, apa makna sebenarnya perkataan setia?

Cuma, sekadar mengambil masa berbicara, nak tulis beberapa perkaitan dengan setia.

Dalam sirah Rasulullah saw ada dicatat kisah bagaimana pengikutnya setia. Tetapi tak kurang juga yang munafik.

Setia juga tersebut di dalam Rukun Negara. Tetapi jelas dirujuk kepada siapa.

Dalam perkhidmatan kerja, anda dituntut menjadi setia. Tetapi ada juga yang berubah bila di belakang.

Keharmonian rumahtangga, setia antara faktornya. Tetapi ada juga yang memilih masanya.

Kawan yang baik adalah kawan yang setia. Tetapi bukan ketika ia diuji.

Dalam soal politik? Saya jadi keliru.

Di satu ketika, orang politik mencanangkan bahawa metadologi yang mesti dipegang oleh setiap orang bila berpolitik ialah di dalam dunia politik, tidak akan ada yang menjadi kawan atau musuh sampai bila-bila. Setia bukan pegangan. Tetapi peliknya, hari ini mereka pula yang rancak bercakap soal perlunya setia.

Dalam soal politik juga, dibahaskan ungkapan...kita setia kepada pemimpin atau kita setia kepada kepimpinan. Tetapi ramai juga yang berubah-ubah mengikut keadaan.

Dalam soal politik, ada juga saya terdengar satu formula iaitu kita tidak boleh setia kepada orang, tetapi kita mesti setia kepada apa yang betul orang itu buat. Tetapi tidakkah dek setia itu yang menyebabkan orang itu fikir dia buat yang betul?

Akhirnya, saya buat satu rumusan tentang setia.

Rupa-rupanya, setia hanya datang dari hati. Bukan dengan mulut, tulisan mahupun perbuatan. Sebab itu, kita sering lihat keadaan yang mana kita nampak seseorang itu setia, tapi rupanya tidak. Dan juga keadaan yang mana seseorang itu benar-benar setia, tetapi orang tak nampak.

Sebab itulah hanya Allah swt sahaja yang akan tahu samada kita setia ataupun tidak kepada sesuatu.

Jadi, bagi kita sesama manusia biasa, berhati-hatilah kerana soal setia akan menjadi persoalan sepanjang masa.


p/s Setiawan ada kena mengena ke dengan setia?

Wednesday, May 21, 2008

ISU TUN M : APA KESANNYA?

Masih lagi mengenai isu Tun M keluar parti.

Kali ini, saya tidak mahu menyentuh soal penghargaan mahupun kritikan. Dah sebut sebelum ni.

Cuma, saya terfikir-fikir, apa kesannya nanti ?

Ramai org beri pandangan. Ada yg menyentuh soal jumlah ahli yang akan mengikuti jejak Tun M. Ada yang menyakini ia tidak akan menjejaskan parti. Ada yang berbicara soal kedudukan kepimpinan BN. Dan macam-macam lagi.

Cuma, setelah saya membaca berbagai-bagai komen pembaca blog, termasuklah dalam Chedet.com ( takut tengok jumlah komennya ! ), saya terperasan satu senario menarik.

Saya dapati ada senario yang mana ramai di kalangan generasi muda menyokong tindakan Tun M. Malahan, kalau kita bercakap dengan golongan muda di akar umbi, nampak jelas mereka menyebelahi Tun M. Saya sendiri kurang pasti samada mereka kesemuanya adalah ahli Umno. Tapi yang pasti, mereka berminat bercakap soal Umno.

Dalam masa yang sama, terdapat satu senario lagi, pernyataan sokongan kepada Pak Lah dizahirkan. Berbagai-bagai lafaz taat setia telah diucapkan oleh beberapa pihak. Khususnya di kalangan pemegang dan penyandang jawatan yang kebanyakkannya di kalangan bukan generasi muda. Jumlahnya pun ramai juga.

Jadi, soalan yang sedang bermain di kepala saya ialah adakah senario ini akan menyebabkan Umno menjadi satu parti yang terbahagi kepada dua pemikiran iaitu antara Umno Pemikiran Baharu dan Umno Pemikiran Lama ?

Apa pandangan pembaca?

TAHNIAH MAN UTD

Ucapan tahniah kepada penyokong Man Utd !!

Ucapan kecewa kepada penyokong Chelsea...

Ucapan biasa aje kepada penyokong Liverpool ??


p/s : apepun, saya sedikit gembira dgn prestasi pasukan bolasepak bawah 23 Malaysia yang baru-baru ini menunjukkan peningkatan dalam persembahan. Harap-harap berterusan.

ANTARA MAN UTD vs CHELSEA : APA RAMALAN ANDA !

Pagi ini rasanya ramai di kalangan ahli Pemuda yang akan turut bersama-sama yang lain bersengkang mata dek siaran langsung perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Kalau ada yang lebih fanatik, sudah pasti menonton dengan siap berpakaian jersi pasukan masing-masing. Pasti meriah kerana kedua-dua pasukan memang mempunyai penyokong kuat masing-masing.

Sesuatu yang seronok tentang bolasepak ialah ketika menyokong sesebuah pasukan, perbezaan ideologi dan percanggahan pandangan boleh dilupakan sejenak. Kemenangan pasukan adalah segala-galanya. Masing-masing boleh bersatu dalam warna jersi pasukan kegemaran mereka. Inilah magiknya sukan bolasepak.

Apapun, teruskanlah menonton dan menyokong pasukan masing-masing. Yang penting, jangan terlupa mana-mana yang patut.

Apa ramalan anda?

Ramalan saya? Tak tahu nak kata. Kedua-duanya pasukan yang hebat. Penuh dengan rekod kejayaan. Susah nak ramal kan. Rezeki pasukan mana, kita tengoklah nanti.

Lagipun, saya mungkin tak menonton. Sebab pasukan kegemaran saya dah kalah!!

Penyokong Liverpool...You'll never walk alone.

Tuesday, May 20, 2008

NILAI KEMANUSIAAN DARIPADA SEBUAH FILEM

Secara tak sengaja, tadi saya tertonton sebuah filem di Astro Saluran Hallmark. Tajuknya 'The Silent Night'. Entah macam mana, sampai habis cerita tu saya ikuti.


Secara ringkas, ceritanya berlaku pada satu masa peperangan di musim salji. Beberapa askar Amerika tersesat dalam hutan hinggalah mereka terjumpa sebuah rumah yang didiami seorang perempuan berbangsa Jerman dan anak lelakinya. Nak dijadikan cerita, musuh perang mereka iaitu beberapa askar Jerman juga tersesat dan sampai ke tempat yang sama. Masing-masing dibenarkan berteduh dan bermalam di situ dengan syarat utama yang diberikan oleh tuanrumah tersebut ialah ketepikan dahulu soal peperangan untuk semalaman mereka berteduh. Dek kerana tiada pilihan, kesemuanya bersetuju. Jadi, pada malam itu telah berlaku beberapa insiden yang benar-benar menguji persetujuan mereka. Tetapi kesemua insiden ini berjaya diatasi dengan sebab masing-masing berpegang kepada persetujuan yang telah mereka buat.


Dipendekkan cerita, keesokan harinya, mereka pun berpisah ke haluan masing-masing. Yang menariknya, ulasan akhir cerita ini iaitu... mereka bertemu sebagai musuh tetapi berpisah sebagai kawan. Ini semua terjadi kerana walaupun berbeza ideologi, setiap mereka menghormati antara satu sama lain sebagai seorang manusia juga. Nilai kemanusiaan yang dipertahankan.


Saya terfikir... ( mungkin mengimpikan ), kalaulah setiap kita juga mampu menerap dan mengamalkan nilai sebegitu sesama kita. Apatah lagi, kita seAgama dan seBangsa.

Monday, May 19, 2008

Isu Tun M : Selamatkanlah Malaysia

Assalamualaikum Tun Mahathir,

Saya sentiasa menyanjungi jasa Tun kpd Malaysia. Itu memang tak siapa boleh nafikan. Dunia juga boleh mengesahkannya, boleh mengiktirafnya. Untuk itu, saya sentiasa doakan kesejahteraan kepada Tun, di dunia dan juga di akhirat.

Saya sentiasa memahami karakter Tun yang sinonim dengan kejutan. Ini juga tak siapa boleh nafikan. Sejarah boleh membuktikannya. Pengumuman tadi juga boleh dikategorikan kejutan terbaharu. Untuk itu, saya tiada nak beri komen.

Sebab tak layak kita komen keputusan Tun yang jauh lebih bijak, matang daripada kita. Pada mana-mana yang memberi komen mengkritik Tun, biarkanlah mereka terasa 'cerdik sangat' dalam hanya dunia mereka sendiri sahaja, tanpa pengiktirafan sapa-sapa.

Cuma, saya berdoa semoga keputusan Tun ini akan mempunyai hikmah yang baik kpd negara. Hanya Allah swt yg Maha Mengetahui.

Ya Allah......Selamatkanlah Malaysia.

ISU TUN M : KITA KENA LEBIH BERTENANG

Kita ini, rasanya semua sudah sedia maklum mengenai keputusan Tun M. Inilah karakter yang ada pada Tun M. Beliau akan lakukan apa sahaja yang beliau fikir beliau ingin buat, tanpa mengambil pusing apa orang lain nak kata. Tahap istiqamah yang cukup tinggi.

Bagi kita, sebagai ahli Umno, kita kena terima ini sebagai satu lagi dugaan yang besar kepada parti kita. Beliau bukan calang-calang pemimpin. Dunia mengenalinya.

Saya tidak layak memberi komen mengenai keputusan beliau. Tun M bukanlah orang yang membuat keputusan membuta tuli. Lagipun, kita kena sentiasa menghormati keputusan orang.

Cuma, di ruangan ini, saya menyeru kawan-kawan yang lain untuk lebih bertenang. Jangan terburu-buru bertindak. Kewarasan kita amatlah dituntut di dalam menangani isu sebegini berat. Kematangan kita akan diuji dengan dugaan ini.

Semoga kita tidak tersalah fokus. Semoga kita dibantu Allah swt di dalam menghadapi dugaan ini.

Friday, May 16, 2008

POSITIFKAN MINDA KITA TENTANG PEMILIHAN KETUA PEMUDA UMNO BAHAGIAN REMBAU

Assalamualaikum.....

Saya ingin bicara soal pemilihan Ketua Pemuda Bahagian Rembau ( KPBR ). Mana mungkin kita dapat elakkan diri bercakap soal ini memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan dalam parti Umno. Soal pemilihan ialah bukti amalan demokrasi dalam parti.

Saya mengajak pembaca semua melihat pemilihan KPBR dari sudut positif.

Pemilihan KPBR ialah satu proses di mana ahli parti akan memilih hanya seorang yang mereka rasakan sesuai untuk memikul amanah sebagai Ketua mereka. Sudah pasti, berbagai-bagai asas penilaian akan mereka gunakan. Selagi ianya tidak dipengaruhi, selagi ianya bersandarkan aqal, maka biarkanlah setiap ahli bebas berfikir dan memilih. Asasnya, memilih adalah hak mutlaq mereka sebagai ahli.

Jika berlaku beberapa nama melepasi kuota pencalonan, maka pertandingan mungkin tidak dapat dielakkan. Pada masa sekarang, sementelah Mesyuarat belum dijalankan, maka sudah pasti beberapa nama, selain penyandang jawatan, menawarkan diri mereka untuk dinilai. Maka, biarkanlah. Parti akan lebih berdinamik jika kita buka ruang yang seluas-luasnya kepada mana-mana ahli untuk menawarkan diri berkhidmat. Menawarkan diri bukanlah satu perkara jenayah. Justru, kita tidak perlu menghukum si bukan penjenayah.

Ketika ini, beberapa nama telah menawarkan diri sebagai KPBR. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kebaikan.

Sdra YB Khairy, sebagai penyandang jawatan tersebut, perlulah dihormati sebagai Ketua. Kita tidak boleh nafikan bahawa beliau mempunyai kredibilitinya yang tersendiri. Kedudukan beliau sebagai yang amat dikenali, memberi kelebihan kepadanya di dalam pemilihan KPBR. Beliau juga salah seorang anak muda yang terpilih belajar di salah sebuah universiti tersohor dunia.

Saya juga sedia maklum bahawa Sdra Azman Md Shah adalah antara yang menawarkan diri sebagai KPBR. Beliau juga perlu dihormati memandangkan beliau telah terpilih sebagai AJK Pemuda Bahagian. Beliau juga merupakan Pengerusi Penyelaras Pemuda Umno di Dun Rantau. Kegiatan beliau di cabang aktiviti belia menunjukkan beliau seorang yang aktif bekerja.

Saya sendiri menawarkan diri sebagai KPBR. Ianya bukan satu rahsia. Saya menawarkan diri untuk memberi lebih pilihan kepada ahli untuk memilih yang terbaik. Apa wawasan saya? Saya akan menulis di ruangan lain. Tak manis pula ditulis di sini.

Terdapat juga nama-nama lain yang disebut-sebut berminat. Oleh sebab kurang kepastian, saya reserve comment dulu.

Mesej yang saya nak sampaikan di sini ialah kita buka ruang ini seluas-luasnya supaya kita dapat mengenalpasti yang terbaik di kalangan kita. Kita alu-alukan mereka. Saya berkeyakinan penuh bahawa di dalam Rembau, kita tidak ketandusan bakat kepimpinan golongan muda. Dengan membuka ruang, kita akan dapat melahirkan ramai pemimpin muda. Dengan kelahiran ramai pemimpin muda ini, parti akan bertambah kuat. Bila parti kuat, nasib bangsa akan terbela. Inilah maksud saya.

Namun begitu, seramai mana pun yang menawarkan diri, akhirnya ahli akan memilih seorang sahaja sebagai KPBR. Dan ianya adalah sepertimana yang tertulis pada ketentuan Ilahi. Yang terpilih, kita doakan agar diberi kekuatan memikul amanah sebagai Ketua. Yang tidak terpilih, jangan kecewa. Ini bukan penghujung jalan untuk mencurah bakti kepada perjuangan bangsa. Banyak lagi ruang lain yang boleh kita bantu.

Inilah yang saya maksudkan dengan positifkan minda kita tentang pemilihan KPBR. Untuk merealisasikan hal ini, keikhlasan kita di dalam memperjuangkan nasib bangsa amat-amatlah dituntut.

Dalam satu hadis, untung nasib, ajal maut kita telah ditentukan Allah swt sejak usia kita 120 hari ( 4 bulan ) lagi di dalam rahim ibu kita, sebelum kita lahir pun lagi. Lalu, kenapa perlu kita terlalu beria-ria sehingga mengenepikan batasan agama, walaupun kita berpolitik?

Lagipun, kita adalah bersaudara, di dunia dan juga di akhirat. Janganlah kita bermusuh. Kita mungkin memerlukan mereka untuk membantu kita di dunia. Kita juga mungkin memerlukan syufaat salah seorang daripada kita ketika di akhirat kelak.

Thursday, May 15, 2008

Berpolitik Bukanlah Lesen Memandu Ke Jalan Dosa

Assalamualaikum...

Salam perkenalan kepada semua penulis blog.

Setelah membaca beberapa komen yang mengaitkan nama saya, maka saya terpanggil untuk bersama-sama dengan Saudara semua di dalam dunia penulisan blog.

Saya berasa gembira melihat perkembangan anak bangsa Melayu yang kini telah menerima peranan kemajuan teknologi sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Malahan, terdapat beberapa penulisan yang benar-benar menarik perhatian saya, di atas keupayaan penulis berbangsa Melayu ini mengupas dan melontar pandangan di dalam sesuatu isu. Tahniah saya ucapkan.

Tetapi, ada ketikanya, apabila terbaca beberapa penulisan dan komen daripada beberapa penulis yang juga berbangsa Melayu, yang lari daripada adab, etika dan prinsip penulisan, saya tiba-tiba jadi sedih.

Benar, saya mengakui bahawa ini adalah alam politik. Maka, kita pun berpolitik. Tetapi, kita tidak boleh samasekali lupa bahawa kita beragama Islam dan berbangsa Melayu. Ada hukum Allah swt yang wajib kita patuh. Ada adat Melayu yang mesti kita junjung.

Justru itu, berpolitik bukanlah satu lesen untuk kita memandu ke arah jalan dosa. Berpolitik juga bukanlah satu imuniti untuk kita mengata apa sahaja kepada orang lain. Setiap sesuatu daripada apa yang kita buat dan kata, akan 'direkodkan' untuk kita dibalas di akhirat kelak.

Lebih berat, jika ianya mengenai seseorang. Kalau dengan Allah swt yang Maha Pengampun, kita telah dianugerahkan kaedah bertaubat, selagi nyawa belum dicabut. Tetapi, dosa antara sesama manusia, hanya manusia itu sahaja yang berhak memaafkannya.

Jadi, tidakkah rugi kita sebagai manusia, mengumpul dosa mengata orang melalui kemajuan teknologi?

Ayuh, kita gunakan kemajuan teknologi ini sebagai satu wadah di dalam mempertingkatkan diri dan juga sebagai medium untuk kita mempereratkan hubungan antara kita. Kita bantu antara satu sama lain atas nama seAgama dan sebangsa dengan kita.

InsyaAllah, semoga usaha kita menegakkan Agama dan memajukan bangsa akan dirahmati.